JANUARI 2022

Pilihan Raya Atau Tidak, Jentera GPS Sentiasa Bekerja – Fadillah


KUCHING: Jentera parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa berada di lapangan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat sama ada Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan atau sebaliknya, kata Naib Yang di-Pertua Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Fadillah Yusof.

“Sama ada pilihan raya diadakan atau sebaliknya, GPS sentiasa berkhidmat kepada rakyat, katanya diminta mengulas desas-desus kononnya PRU Ke-15 (PRU15) akan diadakan pada tahun ini,” katanya selepas menghadiri Majlis Aspresiasi Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan di sini.

Fadillah yang juga Menteri Kanan Kerja Raya berkata, seperti biasa GPS sentiasa siap siaga untuk menghadapi PRU15 sekiranya dilaksanakan pada bila-bila masa.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya enggan mengulas lanjut berhubung PRU15 itu.

"Saya tidak tahu bila ia (PRU15) akan diadakan, tetapi bagi GPS, kita bukan bekerja untuk pilihan raya sahaja malah kita sentiasa bekerja dan berkhidmat untuk rakyat," jelasnya.

Ditanya sama ada beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Petra Jaya pada PRU15, Fadillah berkata ia merupakan hak prerogatif Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memutuskan siapa yang akan bertanding nanti.

Sumber dari : Jiwa Bakti